Like Fest Fun Run satukan masyarakat, galak gaya hidup sihat

TAWAU: Program Like Fest Fun Run 2026 bukan sahaja berjaya menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, malah menjadi platform memperkukuh perpaduan serta membuka peluang kepada golongan belia dan usahawan tempatan untuk terus berkembang.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, program seumpama itu membuktikan semangat perpaduan rakyat Sabah yang hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Walaupun kita hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama, setiap perayaan dan program dapat diraikan bersama tanpa mengira bangsa serta kepercayaan masing-masing. Inilah kekuatan yang perlu terus dipelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Like Fest Fun Run 2026 di Kompleks Sukan Tawau, di sini hari ini.

Menurut beliau, penganjuran program berasaskan sukan dan rekreasi perlu diteruskan kerana mampu menarik lebih ramai penyertaan golongan belia selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesihatan.

“Kesihatan bukan sahaja penting kepada golongan belia, malah kepada mereka yang berumur dan veteran. Dengan kesihatan yang baik, seseorang dapat berfikir dengan lebih jelas, melaksanakan tugas harian dengan teratur serta menghasilkan produktiviti yang lebih baik,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nizam berharap lebih banyak program melibatkan pembangunan bakat, kemahiran dan keusahawanan anak muda dapat dianjurkan pada masa hadapan bagi membantu mereka mencapai potensi yang lebih tinggi.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan sentiasa menyokong program yang melibatkan belia, sukan dan pembangunan ekonomi kreatif kerana bidang tersebut mampu menjana pendapatan serta meningkatkan taraf hidup masyarakat.

Mengulas mengenai bentuk bantuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), beliau berkata pelbagai inisiatif telah disediakan kerajaan untuk membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka secara berterusan dan tidak hanya bergantung kepada penyertaan dalam karnival.

“Banyak program telah disediakan oleh kerajaan. Di kementerian saya sendiri, terdapat geran yang boleh dimohon oleh belia yang ingin memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.

“Selain itu, terdapat juga bantuan daripada kementerian dan agensi berkaitan termasuk dari segi penyediaan peralatan kepada usahawan yang ingin memperbesarkan perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata kerajaan sentiasa terbuka untuk menyokong penganjuran program pembangunan belia dan keusahawanan di Tawau serta daerah-daerah lain di Sabah demi memastikan lebih ramai anak muda mendapat manfaat daripada inisiatif yang disediakan.