KOTA KINABALU: Seramai 300 individu termasuk 12 pemimpin dan penganjur utama ditahan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sebuah dewan di Likas, di sini, hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, operasi dijalankan susulan aduan awam yang diterima JHEAINS pada 28 Mei lalu berhubung penganjuran Program Jalsa Salana Wilayah Sabah Ke-32 yang berlangsung dari 29 hingga 31 Mei.
Katanya, hasil semakan mendapati program itu dikaitkan dengan Jemaah Ahmadiyah Qadiani yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah serta diwartakan pada 2007.
“Seramai 300 individu ditahan bagi membantu siasatan terdiri daripada 12 pemimpin dan penganjur utama serta 288 ahli jemaah.
“Program ini turut dihadiri kepimpinan tertinggi Jemaah Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) serta ahli-ahli dari beberapa daerah di Sabah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, turut dirampas ialah 24 banting yang memaparkan pengasas dan pemimpin tertinggi kumpulan berkenaan, kira-kira 200 buku serta bahan bacaan berkaitan ajaran itu selain dokumen program, senarai kehadiran dan bahan penerbitan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 52(1), Seksyen 52A dan Seksyen 102 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995.
“Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mendapatkan panduan agama daripada sumber yang sahih dan diiktiraf serta merujuk pihak berkuasa agama sekiranya mempunyai sebarang keraguan berkaitan sesuatu ajaran atau fahaman agama.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang didapati menyeleweng daripada ajaran Islam.
