Anwar akan jelaskan isu hak pemberian khas 40 peratus Sabah esok

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan menjelaskan mengenai rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah, termasuk semakan hak pemberian khas 40 peratus kepada Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), esok.

“Itu saya akan jelaskan esok di Sabah. Saya akan ke Sabah,” katanya ringkas kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Hamzah di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Armizan Mohd Ali berkata Kerajaan Persekutuan komited untuk memperbetul pendirian rasmi pentadbiran terdahulu, termasuk melaksanakan semakan berkaitan hak pemberian khas 40 peratus kepada Sabah.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, berkata komitmen itu selaras dengan pendirian Anwar yang mengiktiraf hak Sabah terhadap pemberian khas berkenaan sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.