KOTA KINABALU – Penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya mengesahkan satu spesimen tumbuhan misteri yang ditemui di Taman Bukit Tawau sebagai spesies baharu selepas lebih 12 tahun tersimpan tanpa identiti di herbarium.
Spesies yang dinamakan Ardisia condensiflora itu diterbitkan secara rasmi dalam jurnal antarabangsa Phytotaxa hasil kajian yang dijalankan penyelidik Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), UMS.
Menurut IBTP, spesies tersebut hanya ditemui di kawasan Taman Bukit Tawau dan kini dikategorikan sebagai spesies endemik Sabah.
Penemuan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai antara wilayah yang memiliki kepelbagaian biodiversiti tertinggi di dunia.
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, hutan Sabah masih menyimpan pelbagai khazanah alam yang belum diterokai sepenuhnya.
“Penemuan ini membuktikan masih banyak spesies yang belum dikenal pasti dan perlu terus dilindungi menerusi penyelidikan saintifik yang berterusan,” katanya.
Sementara itu, penyelidik utama kajian, Dr Avelinah Julius berkata usaha penerokaan saintifik dan pemuliharaan amat penting bagi memastikan spesies baharu tidak pupus sebelum sempat didokumentasikan.
