KUDAT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemukan lemas selepas dipercayai tergelincir ketika memancing di tali air Kampung Masankong, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa dikatakan sedang memancing bersama rakannya sebelum terjatuh ke dalam tali air berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, PPgB Darikson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.59 petang sebelum sepasukan 10 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi.
“Mangsa berjaya ditemukan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.12 malam.
