Hampir 10,000 penduduk terjejas gangguan talian di Tinagat

TAWAU: Gangguan talian telefon dan internet di kawasan Batu Payung-Tinagat didakwa masih berlarutan sehingga menjejaskan hampir 10,000 penduduk walaupun menara telekomunikasi telah dibina sejak beberapa tahun lalu.

Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, isu itu akan dibawa kepada perhatian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas menerima pelbagai aduan daripada penduduk setempat.

Menurut beliau, masalah tersebut turut dialaminya sendiri apabila panggilan telefon bimbit terputus ketika melalui laluan Kampung Tinagat menuju Batu Payung sempena program Majlis Korban di Sub PDM Tinagat.

“Bila menara sudah dibina, sudah tentu rakyat berharap masalah komunikasi dan internet dapat diselesaikan, bukannya terus terganggu,” katanya.

Beliau berkata capaian internet kini menjadi keperluan penting terutama dalam bidang pendidikan, urusan harian dan pembangunan ekonomi digital.