Tipu projek sungai RM57,000, lelaki dipenjara enam tahun

KOTA MARUDU: Seorang lelaki tempatan dipenjara enam tahun selepas didapati bersalah menipu mangsa melalui tawaran projek pengorekan dan pembersihan sungai yang tidak wujud sehingga menyebabkan kerugian RM57,000.

Tertuduh turut diperintahkan membayar ganti rugi RM57,000 kepada mangsa dan jika gagal berbuat demikian, akan dikenakan tambahan hukuman penjara enam bulan.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, kes itu berjaya diselesaikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) IPD Kota Marudu sebelum tertuduh dituduh dan dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Majistret Kota Marudu pada 26 Mei lalu.

“Siasatan mendapati mangsa berurusan dengan suspek pada September 2023 berhubung tawaran projek kerja pengorekan dan pembersihan Sungai Kampung Damai yang kononnya dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kota Marudu.

“Bagi meyakinkan mangsa, suspek mengemukakan beberapa dokumen sebelum meminta pembayaran dibuat ke beberapa akaun bank,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mangsa membuat pembayaran keseluruhan RM57,000 sebelum mendapati dokumen yang diberikan adalah palsu dan projek tersebut tidak wujud.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan lima tahun di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dijalankan secara berasingan.