SPRM Sabah tahan tiga pembantu penguat kuasa

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan tiga pembantu penguat kuasa kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM10,000.

Menurut sumber, suspek dipercayai menerima wang sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap lori sebuah syarikat perkakasan dan pengangkutan yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas.

Ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah semalam.

Siasatan awal mendapati mereka disyaki melakukan perbuatan tersebut antara Januari 2023 hingga Oktober 2024.

“Mereka dipercayai menerima wang rasuah secara bulanan sebanyak RM500 melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank pihak ketiga,” menurut sumber.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.