Pesta Memancing Sepanggar tawar RM16,400, perkukuh komuniti dan bantu pelajar

KOTA KINABALU: Pesta Memancing Sepanggar 2026 yang bakal berlangsung pada 17 Mei ini di Jetty ODEC, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menawarkan hadiah keseluruhan RM16,400 kepada peserta.

Program anjuran Sabah News Today (SNT) dengan kerjasama UMS serta komuniti nelayan Kampung Bangka-Bangka itu menyasarkan penyertaan seramai 250 peserta dari seluruh Sabah dengan yuran RM100 seorang.

Sebahagian kutipan yuran akan disalurkan kepada Dapur Siswa UMS sebagai usaha membantu pelajar kurang berkemampuan.

Peserta berpeluang memenangi pelbagai hadiah termasuk hadiah utama serta cabutan bertuah seperti motosikal dan peralatan elektrik.

Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Jamawi Jaafar, manakala majlis penutupan serta penyampaian hadiah akan disempurnakan oleh Mustapha Sakmud.

Program ini bertujuan menggalakkan aktiviti riadah sihat dalam kalangan masyarakat, memperkukuh hubungan komuniti serta memberi impak positif kepada ekonomi setempat khususnya komuniti nelayan.