6 warga Filipina dicekup serbuan imigresen awal pagi

LABUAN: Enam warga Filipina termasuk empat wanita dan dua kanak-kanak perempuan dicekup dalam serbuan imigresen di dua penempatan warga asing, awal pagi tadi.

Serbuan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Labuan bermula kira-kira jam 12.15 tengah malam hingga 2 pagi hasil risikan serta maklumat awam.

Pengarah JIM Labuan, Mohd Redzuan Nawi berkata seramai 41 individu diperiksa dalam operasi berkenaan melibatkan warga tempatan dan asing.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati enam warga Filipina ditahan kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kesemua tahanan kini ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan serta Depot Imigresen Labuan untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, pihak imigresen tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen termasuk majikan atau individu yang melindungi pendatang tanpa izin (PATI).

“Operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan kedaulatan undang-undang negara terus terpelihara,” katanya.

Dalam masa sama, orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras kegiatan berkenaan.