Keputusan Usno keluar GRS bukan sebulat suara – Ibrahim

KOTA KINABALU: Keputusan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) untuk keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukan dibuat secara sebulat suara, kata Timbalan Presidennya, Datuk Ibrahim Linggam.

Menurut beliau, hanya 18 daripada 37 ahli Majlis Eksekutif Tertinggi hadir dalam mesyuarat pada 22 April lalu, sekali gus tidak mencukupi untuk dianggap sebagai keputusan bersama.

Katanya, ramai ahli yang tidak hadir tidak menyokong tindakan tersebut dan masih mengekalkan sokongan terhadap GRS.

Ibrahim turut mendakwa terdapat tekanan terhadap ahli untuk menyatakan sokongan terhadap keputusan berkenaan, termasuk arahan menandatangani dokumen sokongan.

Beliau menegaskan bahawa prinsip demokrasi dalam parti perlu dihormati dan setiap pandangan pemimpin harus diambil kira sebelum sesuatu keputusan besar dibuat.