KUDAT: Seramai 18 ketua isi rumah yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Gumpa menerima bantuan awal RM1,000 serta barangan dapur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Mustapha Sakmud berkata bantuan itu disalurkan bagi meringankan beban mangsa selepas lapan rumah musnah dalam kejadian pada 16 April lalu.
Beliau berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut mengarahkan supaya bantuan segera diberikan sebagai tanda keprihatinan kerajaan.
“Ini bantuan awal, manakala bantuan susulan akan dipertimbangkan mengikut keperluan mangsa,” katanya selepas melawat PPS Kampung Gumpa.
Mustapha turut meminta pihak sekolah memberi kelonggaran kepada pelajar terjejas agar mereka tidak tercicir.
