ADUN Sekong bantu anak mangsa kebakaran beli pakaian sekolah

SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Alias Sani mengambil inisiatif membantu anak-anak mangsa kebakaran Kampung Bahagia dengan membawa mereka membeli pakaian sekolah bagi memastikan mereka dapat meneruskan persekolahan tanpa gangguan.

Presiden Parti Warisan Sabah, Mohd Shafie Apdal berkata usaha itu penting supaya pendidikan anak-anak mangsa tidak terjejas walaupun berdepan kesukaran selepas kehilangan tempat tinggal.

“Pendidikan tidak boleh terhenti walaupun dalam keadaan susah. Masa depan mereka terlalu berharga untuk diabaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, inisiatif itu juga sebahagian usaha membantu meringankan beban keluarga mangsa yang terjejas akibat kebakaran besar tersebut.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan dan berharap sokongan berterusan dapat membantu mangsa bangkit semula.