Sabah perkukuh sektor tenaga, SOGDC meterai MoU hab SOGIP

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus memperkukuh sektor tenaga negeri menerusi cadangan pembangunan hab tenaga bersepadu di Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP).

Ketua Menteri, Hajiji Noor menyaksikan pertukaran MoU antara Sabah Oil & Gas Development Corporation (SOGDC) dan beberapa rakan strategik antarabangsa termasuk EA Gibson, ACWA Power dan Aboitiz Power Ltd.

Cadangan pembangunan melibatkan kawasan seluas 275 ekar merangkumi kemudahan penyimpanan LNG, ammonia dan hidrogen serta pembangunan infrastruktur petrokimia dan penjanaan tenaga.

Kajian kebolehlaksanaan turut melibatkan pembinaan loji janakuasa gas kitaran gabungan (CCGT) berkapasiti antara 400 hingga 500MW.

Menurut Hajiji, inisiatif itu selaras dengan usaha kerajaan negeri menjadikan sektor tenaga sebagai pemacu utama ekonomi Sabah dan menarik pelaburan berkualiti tinggi.