KOTA KINABALU: Kerjasama antara Kerajaan Negeri Sabah dan Jepun dalam usaha melindungi alam sekitar terus diperkukuh menerusi pelbagai inisiatif strategik termasuk sokongan teknikal dan kewangan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata hubungan erat itu kini melangkaui sektor pelancongan dan budaya, sebaliknya turut merangkumi aspek kelestarian alam sekitar secara berterusan.
Katanya, Jepun melalui pelbagai agensi dan yayasan konsisten menyalurkan sumbangan setiap tahun bagi menyokong usaha pemuliharaan di Sabah, khususnya menerusi Jabatan Hidupan Liar Sabah.
“Kerjasama ini amat penting dalam memastikan kelestarian hutan dan biodiversiti negeri terus terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pameran Kembara Kebudayaan ‘I Love Sushi’ di Muzium Tamadun Islam Sabah, di sini, pada Jumaat.
