Jamawi seru warga JPS Sabah kekalkan kecemerlangan perkhidmatan

KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar menyeru warga Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya terus mengekalkan kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan awam.

Menurutnya, komitmen, kesungguhan serta kerjasama padu dalam kalangan warga kerja merupakan teras utama dalam memastikan perkhidmatan yang diberikan kekal berkualiti, cekap dan berkesan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 dan Sanjungan Budi 2025/2026 JPS di sini pada Jumaat.

“Semua kakitangan perlu turun ke lapangan bagi memahami sendiri permasalahan yang dihadapi oleh golongan petani,” katanya.

Tambah beliau, mesyuarat berkaitan pembangunan pertanian juga wajar diadakan di lokasi projek bagi membolehkan pemahaman lebih jelas terhadap situasi sebenar.

Pada majlis tersebut, seramai 34 penerima menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, manakala 25 pesara menerima penghargaan Sanjungan Budi.