Wanita maut, kereta terbabas sendiri di Tawau

TAWAU: Seorang wanita berusia 25 tahun maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sendiri dalam kejadian di Bandar Sri Indah, di sini, pada Jumaat.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 12.26 tengah hari sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, mangsa telah dikeluarkan oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ketibaan bomba dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambahnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.22 tengah hari selepas pihak bomba memastikan tiada risiko bahaya lain di lokasi kejadian.