Bekalan beras ditambah, audit pemborong diperketat

TELUPID: Kerajaan meningkatkan bekalan beras kepada 35,000 tan metrik bulan ini bagi menstabilkan pasaran susulan pembelian panik di Sabah.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar, berkata langkah itu diambil berikutan gangguan bekalan, termasuk kegagalan pemborong mengeluarkan stok yang telah dibeli.

Beliau berkata, kira-kira 3,000 tan metrik beras masih tersadai di stor Bernas kerana tidak diambil oleh pemborong.

Menurutnya, audit sedang dilaksanakan terhadap pemborong yang disyaki menyorok atau menyeludup bekalan beras subsidi.

“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pemilik lesen yang didapati bersalah termasuk denda minimum RM50,000 serta hukuman penjara,” katanya.

Selain itu, kerajaan turut mengehadkan pembelian kepada dua kampit bagi setiap individu bagi mengawal bekalan.