Akademik, sukan perlu seimbang di sekolah Putatan – Shahelmy

PUTATAN: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya menegaskan pembangunan akademik dan sukan di sekolah perlu diseimbangkan bagi melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing dan berkualiti.

Menurutnya, sekolah tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kecemerlangan peperiksaan semata-mata, sebaliknya perlu turut memberi penekanan kepada pembangunan fizikal, disiplin dan kemahiran sosial pelajar.

Beliau berkata, pendekatan holistik itu penting bukan sahaja untuk membina potensi murid secara menyeluruh, tetapi juga mengangkat nama sekolah-sekolah di Putatan di peringkat lebih tinggi.

“Pembangunan holistik melibatkan akademik dan sukan memainkan peranan penting demi melahirkan pelajar yang lebih beribawa pada masa depan,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan Kali Ke-26 SMK Tansau pada Khamis.

Shahelmey turut berkata kejohanan sukan sekolah mampu menjadi medium membentuk semangat kepimpinan, disiplin diri serta kesedaran terhadap nilai kerjasama dalam kalangan pelajar.

Dalam ucapannya, beliau juga menyentuh tema kejohanan tahun ini, Alam Sekitar: Flora dan Fauna, yang menurutnya selari dengan usaha mendidik pelajar agar lebih peka terhadap kepentingan memelihara alam semula jadi.