Lelaki dicekup bawa 800 liter diesel di Pulau Banggi

KUDAT: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas disyaki mengangkut kira-kira 800 liter minyak diesel dalam operasi bersepadu Ops Tiris 4.0 di kawasan jalan utama Karakit–Batu Layar, Pulau Banggi, semalam.

Dalam operasi itu, anggota penguat kuasa menemui empat tong drum berisi diesel di bahagian belakang sebuah Toyota Hilux Single Cab berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Cawangan Kudat, Nazatul Shima Karim, berkata operasi berkenaan dijalankan bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Kudat dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kudat.

Katanya, suspek bersama kenderaan dan minyak diesel terbabit ditahan serta disita untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan terutama di Pulau Banggi yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi berlakunya aktiviti penyelewengan dan penyeludupan bahan api.