KOTA KINABALU: Tuntutan 40 peratus hasil Sabah perlu terus dipacu melalui saluran rasmi bagi memastikan rundingan berjalan teratur tanpa menjejaskan hubungan kerajaan negeri dan Persekutuan.
Aktivis Pro-GRS, Aksyah Nasrah, berkata tuntutan itu sudah mendapat jaminan Perdana Menteri untuk dibayar, manakala Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, komited memastikan hak Sabah diperoleh.
Beliau berkata, usaha kerajaan negeri ketika ini sudah berada di landasan tepat dan tidak perlu diganggu oleh “gerakan solo” yang mendesak penyelesaian segera.
“Langkah kerajaan negeri sudah cukup baik dan tersusun bagi melicinkan rundingan tuntutan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aksyah turut mengingatkan agar tiada pihak cuba menjadi “hero” sehingga menjejaskan proses rundingan yang sedang berjalan.
