Cadangan cable car Gunung Kinabalu perlu dinilai teliti, kata Jafry

KOTA KINABALU: Cadangan projek Kinabalu Cable Car di kawasan Kundasang, Gunung Kinabalu perlu dinilai secara teliti dengan mengutamakan prinsip pembangunan mampan dan pemuliharaan alam sekitar.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin, berkata sebarang pembangunan melibatkan Gunung Kinabalu perlu melalui penilaian menyeluruh memandangkan kawasan itu diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Katanya, projek sedemikian perlu mematuhi piawaian ketat termasuk penilaian impak alam sekitar (EIA) yang komprehensif.

“Kita menyokong pembangunan yang memberi manfaat ekonomi dan meningkatkan pengalaman pelancongan, namun pelaksanaannya perlu dikawal rapi,” katanya selepas menerima kunjungan hormat daripada Jesselton International Sdn Bhd berhubung pembentangan cadangan projek itu.

Jafry berkata, aspek kapasiti tampungan pelawat, perlindungan habitat hidupan liar serta integriti kawasan Taman Kinabalu perlu diberi perhatian.

Menurutnya, beberapa Tapak Warisan Dunia UNESCO di luar negara juga mempunyai kemudahan cable car yang dilaksanakan secara terkawal, namun pendekatan “conservation first” mesti menjadi asas utama.

Beliau berkata, sebarang keputusan akan dibuat secara berhati-hati berasaskan data, sains dan libat urus bersama semua agensi berkaitan serta komuniti tempatan.