KOTA KINABALU: Seramai 15 individu dicekup dalam serbuan terhadap lima premis perjudian yang berselindung di sebalik pusat hiburan di Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan, baru-baru ini.
Dalam Op Dadu Khas itu, semua yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki dan empat wanita tempatan berusia antara 20 hingga 68 tahun.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, CP Datuk M Kumar S Muthuvelu berkata, lima daripada suspek adalah penjaga premis manakala 10 lagi pemain.
Katanya, polis turut merampas tiga mesin simulator, 38 komputer dan wang tunai RM6,680.
“Siasatan mendapati sindiket ini berselindung di sebalik lesen pusat hiburan keluarga dan e-sukan bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a), Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.
