KOTA KINABALU/ Hari Raya Aidilfitri bukan sekadar perayaan, sebaliknya menjadi ruang untuk umat Islam menzahirkan rasa syukur selepas sebulan beribadah di bulan Ramadan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, Aidilfitri juga adalah masa terbaik untuk mengeratkan silaturahim serta memupuk keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum.
“Gunakan peluang ini untuk saling bermaafan dan mengukuhkan hubungan sesama insan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rukyah Hilal Syawal di Balai Cerap Al-Biruni, di sini.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak berlebihan dalam berbelanja dan sentiasa mengamalkan sikap berjimat cermat.
Menurutnya lagi, nilai rahmah perlu diterapkan dengan membantu golongan memerlukan seperti anak yatim dan miskin agar mereka turut merasai kemeriahan Aidilfitri.
