Kerajaan negeri hulur RM57,250 bantu guru terjejas kebakaran SAN

TAMBUNAN: Kerajaan Negeri melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan (PHEDN&P), Jabatan Ketua Menteri menyalurkan bantuan khas berjumlah RM57,250 kepada guru-guru yang terjejas akibat kebakaran di Sekolah Agama Negeri (SAN) Pekan Tambunan.

Bantuan tunai itu disampaikan oleh Timbalan Setiausaha PHEDN&P, Mohd Rizan Abran dalam satu majlis di Pejabat Daerah Tambunan, pada Selasa.

Menurut Mohd Rizan, bantuan tersebut bertujuan meringankan beban guru-guru yang kehilangan pelbagai peralatan pengajaran serta barangan peribadi dalam insiden kebakaran yang berlaku pada 12 Oktober tahun lalu.

Katanya, kejadian itu bukan sahaja menjejaskan kemudahan sekolah, malah memusnahkan bahan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), peralatan elektronik serta harta peribadi milik guru.

“Kerajaan negeri amat prihatin terhadap kesukaran yang dihadapi mangsa dan berharap bantuan khas ini dapat membantu mereka mendapatkan semula keperluan asas serta peralatan pengajaran,” katanya.

Antara penerima bantuan ialah Guru Besar sekolah berkenaan, Ahmad Subri Janing yang kehilangan komputer riba dan bahan pengajaran.

Selain itu, beberapa guru lain turut menerima bantuan selepas kehilangan bahan PdP, fail, buku rujukan, peralatan audio serta barangan peribadi termasuk peralatan rumah dan kenderaan dalam kejadian berkenaan.