Pelajar KV Keningau kumpul sumbangan, bantu keluarga yatim dan OKU

KENINGAU: Pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau yang menyertai Community-Based Leo Club Keningau Centennial menganjurkan kempen sumbangan bagi membantu keluarga yang memerlukan di daerah ini.

Hasil kempen tersebut, barangan keperluan asas berjaya dikumpulkan sebelum dihantar ke rumah beberapa keluarga yang dikenal pasti di Kampung Patikang Laut, Tuarid Taud dan Binaong.

Antara penerima bantuan termasuk adik-beradik yatim, keluarga berdepan masalah kesihatan serta individu kurang upaya.

Program penghantaran bantuan itu dilaksanakan dengan kerjasama Lions Club Keningau Downtown serta beberapa ibu bapa pelajar yang turut membantu mengenal pasti keluarga sasaran.

Presiden Leo Club, Carl David mengetuai rombongan bersama guru KV Keningau dan beberapa ahli Lions Club.

Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang berkata program itu memberi peluang kepada pelajar memahami cabaran yang dihadapi oleh keluarga kurang bernasib baik dalam komuniti mereka.