KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 21 tahun maut selepas motosikal ditunggang melanggar sebuah kereta dalam kemalangan di Jambatan Jalan Tun Fuad Stephan, awal pagi tadi.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata kemalangan berlaku kira-kira jam 1 pagi membabitkan sebuah kereta sedan dipandu wanita tempatan berusia 20 tahun.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kereta tersebut bergerak dari arah pusat bandar menuju ke Telipok sebelum motosikal yang berada di belakang dipercayai hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang kenderaan itu.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
