TAMPARULI: Seorang lelaki warga emas melecur di tangan kanan selepas rumah didiaminya terbakar hampir 90 peratus dalam kejadian di hadapan Tamparuli Point, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 4.21 petang.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran tiba di lokasi pada jam 4.37 petang.
Komander Operasi, PBK I Norkizan Durudin berkata, kebakaran membabitkan rumah jenis tidak kekal berkeluasan 23×30 kaki.
Mangsa berusia 67 tahun mengalami kecederaan melecur di tangan kanan dan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital oleh pasukan EMRS.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.59 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.41 petang.
