KOTA KINABALU,: Pengerusi Sabah Development Berhad (SD Berhad), Datuk Dr Yusof Yacob mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di pejabatnya di Menara Kinabalu, hari ini.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Pengurus Kanan SD Berhad, Nixon Abdul Habi.
Kunjungan itu antara lain bertujuan memberi penerangan kepada Ketua Menteri mengenai latar belakang serta perkembangan semasa SD Berhad, termasuk hala tuju dan pelan cadangan penstrukturan semula syarikat berkenaan.
Menurut Yusof, cadangan penstrukturan semula itu penting bagi memperkukuh kedudukan syarikat supaya mampu menjana pendapatan yang lebih mampan pada masa hadapan.
Beliau berkata, usaha itu juga diharap dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri serta meningkatkan hasil kerajaan Sabah.
SD Berhad merupakan salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri Sabah yang memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi dan pelaburan negeri.
