KOTA MARUDU: Hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dinaiki air sehingga menjejaskan penduduk di Kampung Beliajung.
Berikutan keadaan itu, mangsa yang terjejas dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek 2 bagi memastikan keselamatan mereka.
Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Marudu turut digerakkan ke beberapa lokasi ‘hotspot’ banjir bagi memantau paras air serta keadaan semasa.
Operasi menyelamat masih giat dijalankan bagi memastikan semua penduduk di kawasan terlibat berada dalam keadaan selamat.
Orang ramai yang memerlukan bantuan segera atau ingin melaporkan sebarang kecemasan diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kota Marudu di talian 088-661656.
