Operasi pasir haram di Kota Belud, jentera berat disita

KOTA BELUD: Jabatan Tanah dan Ukur Sabah menyita sebuah ekskavator dan sebuah lori dalam operasi penguatkuasaan terhadap kegiatan pengorekan serta pengambilan pasir darat secara haram di Kampung Pintasan, di sini pada 5 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Chua Ming Ling  berkata operasi tersebut dijalankan selepas pasukan penguatkuasa melakukan risikan dan intipan selama kira-kira seminggu susulan maklumat mengenai aktiviti pengambilan pasir secara haram di kawasan berkenaan.

Menurutnya, serbuan dilakukan sekitar jam 9.45 pagi di lokasi yang dikenal pasti.

“Hasil serbuan itu, pihak jabatan menyita sebuah ekskavator jenis CAT dan sebuah lori Nissan 13 tan yang membawa muatan pasir darat.

“Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat kerana individu yang berada di lokasi sempat melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan penguatkuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata satu laporan polis telah dibuat dan kertas siasatan akan dibuka oleh Unit Siasatan Bahagian Penguatkuasa bagi melengkapkan siasatan.

Kes akan diambil tindakan mengikut peruntukan di bawah Ordinan Tanah Sabah (Bab 68).

Menurutnya lagi, kejayaan operasi tersebut hasil kerjasama antara jabatan, Polis Diraja Malaysia  pemimpin masyarakat Kota Belud serta maklumat orang awam.

Tambah beliau, jabatan akan terus mempergiatkan pemantauan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan pengambilan tanah, pasir atau batu secara haram di seluruh Sabah.