KOTA KINABALU: Sebanyak 27 rumah di kawasan Kampung Sembulan Tengah telah dirobohkan setakat ini dalam operasi pembersihan dan perobohan penempatan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah berkata lebih 100 lagi rumah masih menunggu untuk tindakan seterusnya.
Menurut beliau, kerja-kerja perobohan kini dapat dipercepatkan selepas pihaknya berjaya mendapatkan jentolak yang disewa bagi melaksanakan operasi tersebut.
“Yang tinggal masih ada lebih kurang 100 lebih lagi sebab sebelum ini kita belum dapat jentolak.
“Sekarang ini kita sudah dapat kita sewa, jadi kita lagi cepat untuk merobohkan rumah-rumah tersebut,” katanya kepada media selepas mengadakan walkabout di Bazar Ramadan Deasoka, di sini.
Sabin berkata kebanyakan individu yang masih tinggal di kawasan tersebut adalah penyewa.
Katanya, notis pemindahan telah diberikan kepada penghuni yang terlibat dan setakat ini tiada lanjutan tempoh diberikan.
Dalam masa sama, DBKK sedang meneliti dan memilih pemaju yang berkelayakan untuk melaksanakan projek pembangunan semula kawasan Sembulan Tengah sebelum cadangan tersebut dibawa kepada Kerajaan Negeri untuk dimuktamadkan.
