KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah menegaskan tidak akan memberi ruang kepada mana-mana individu yang menjual rokok haram di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Fairuz Renddan berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pihak terlibat, lebih-lebih lagi jika mereka bertindak ganas terhadap penguat kuasa.
Beliau berkata insiden di Sandakan yang menyebabkan seorang penguat kuasa cedera selepas dipercayai dipukul sekumpulan lelaki berlagak samseng adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
“Kita akan banteras dan usir semua golongan samseng ini daripada menjaja rokok haram di kawasan PBT, bukan sahaja di Sandakan tetapi di seluruh Sabah,” katanya dalam kenyataan media.
Menurut Fairuz, kejadian tersebut dipercayai berlaku selepas mangsa menegur seorang penjual rokok supaya tidak menjalankan aktiviti penjualan rokok di kawasan Pasar Batu 8, Sandakan sekitar jam 2.30 petang kelmarin.
Beliau berkata walaupun kesalahan berkaitan rokok seludup berada di bawah bidang kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), pihak kementerian akan memperhebat usaha menghalang penjualan rokok haram di kawasan PBT.
Fairuz turut mengingatkan semua penjual rokok haram supaya menghentikan kegiatan tersebut serta tidak bertindak ganas terhadap pegawai yang menjalankan tugas.
Katanya, mana-mana pihak yang mengganggu ketenteraman awam di kawasan PBT akan berdepan tindakan tegas.
