Bekalan ayam, daging Sabah mencukupi menjelang Aidilfitri

KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah memberi jaminan bekalan protein berasaskan ayam serta daging lembu dan kerbau di negeri ini adalah mencukupi bagi menampung permintaan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menurut jabatan itu, berdasarkan unjuran bagi tempoh lima bulan pertama tahun 2026, pengeluaran tempatan daging ayam dianggarkan mencecah 29,916.65 tan metrik, manakala pengeluaran daging ruminan (lembu dan kerbau) dianggarkan sebanyak 3,185 tan metrik.

DVS memaklumkan sebagai langkah proaktif menghadapi kemungkinan peningkatan permintaan ayam bulat semasa musim perayaan, kemasukan import ayam bulat telah dibenarkan seawal Disember 2025 bagi memastikan bekalan di pasaran kekal stabil.

Dalam pada itu, DVS turut menjelaskan isu rampasan produk hasilan haiwan sejuk beku di sebuah gudang di Penampang pada 3 Mac lalu.

Menurut jabatan berkenaan, siasatan mendapati tiada sitaan dibuat terhadap 542,519.16 kilogram produk ruminan dan ayam kerana semua barangan tersebut mempunyai lesen import yang sah di bawah Enakmen Haiwan 2015.

DVS menegaskan pihaknya akan terus memantau situasi bekalan dan permintaan semasa bagi memastikan kestabilan bekalan makanan serta kelangsungan industri ternakan di Sabah sentiasa terjamin.