KOTA KINABALU: Ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) digesa mengekalkan perpaduan dan kestabilan parti menjelang pemilihan kepimpinan serta cabaran pilihan raya akan datang.
Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki berkata, setiap ahli perlu memelihara semangat persaudaraan yang menjadi asas kekuatan parti sejak penubuhannya.
Berucap pada sambutan ulang tahun ke-41 PBS di Dewan Hakka, beliau berkata tahun ini menjadi tempoh penting kerana pemilihan kepimpinan akan berlangsung di peringkat bahagian di seluruh negeri.
Menurutnya, proses memperbaharui kepimpinan perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan parti yang diwariskan pemimpin terdahulu terus kekal kukuh.
Julita turut menggalakkan generasi muda tampil memainkan peranan dalam kepimpinan parti bermula di peringkat cawangan dan bahagian.
Bagaimanapun katanya, pemimpin muda perlu memahami nilai dan prinsip perjuangan PBS yang diasaskan oleh pemimpin awal parti.
“Sebagai pemimpin muda yang bercita-cita memimpin, penting untuk memahami DNA parti yang telah diasaskan oleh pemimpin terdahulu,” katanya.
