SENTOSA 2026 bantu 30,000 mahasiswa Sabah

KOTA KINABALU:  Seramai 30,000 mahasiswa Sabah yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negeri dijangka menerima manfaat melalui Inisiatif Bantuan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) 2026.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, bantuan itu diwujudkan sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan mahasiswa anak Sabah yang sedang melanjutkan pengajian.

Menurutnya, bantuan tersebut diharap dapat meringankan beban kewangan pelajar, khususnya bagi tujuan perjalanan pulang ke kampung halaman ketika musim perayaan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran SENTOSA 2026 di Dewan Rafflesia, Politeknik Kota Kinabalu pada Khamis.

Dalam majlis berkenaan, seramai 3,366 pelajar Sabah di Politeknik Kota Kinabalu menerima bantuan SENTOSA secara tunai.

Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri telah melaksanakan 14 inisiatif bantuan pendidikan dengan perbelanjaan RM210.25 juta dalam tempoh lima tahun bagi membantu pelajar di seluruh Sabah.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 90,296 pelajar IPT, 184,911 pelajar sekolah, 1,500 sekolah termasuk sekolah agama serta 57 persatuan pelajar IPT Sabah telah menerima manfaat.

Bagi tahun ini, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM100 juta bagi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah yang dijangka memberi manfaat kepada 5,000 pelajar.

Beliau berkata, pelaksanaan pelbagai inisiatif pendidikan itu selari dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi memperkukuh pembangunan modal insan di negeri ini.