KOTA KINABALU: Cadangan menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak tidak seharusnya ditolak dengan alasan perundangan semata-mata, sebaliknya perlu dilihat berdasarkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, perkara itu bukan sekadar tuntutan politik tetapi merupakan asas yang dipersetujui ketika pembentukan Malaysia antara Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat berhubung isu tersebut menimbulkan polemik yang tidak sihat.
Menurutnya, jawapan itu boleh disalah tafsir seolah-olah kerajaan pusat menolak cadangan menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.
“Pandangan itu juga dilihat bertentangan dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini menyatakan persetujuan pada prinsipnya untuk menambah kerusi Parlimen di kedua-dua negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Masiung berkata, isu berkenaan berpotensi menimbulkan persepsi negatif terhadap hubungan antara kerajaan Persekutuan dengan wilayah Borneo yang selama ini memperjuangkan hak politik lebih seimbang.
Terdahulu, dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda pada 3 Mac lalu, Azalina menjelaskan cadangan penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak perlu diteliti secara menyeluruh kerana mempunyai implikasi besar kepada negeri-negeri lain.
Bagaimanapun, Masiung menegaskan cadangan itu wajar dilihat dalam konteks MA63 serta komitmen kerajaan untuk memastikan representasi politik Sabah dan Sarawak lebih seimbang di Parlimen.
