44 PATI Dicekup Dalam Ops Sapu, Kutip di KK

KOTA KINABALU: Seramai 44 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Sapu dan Ops Kutip yang dijalankan selama dua hari di sekitar bandar raya ini, kelmarin.

Operasi pada 24 hingga 25 Februari itu dilaksanakan sepasukan 24 pegawai penguat kuasa daripada Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah.

Dalam operasi berkenaan, 72 individu warga Indonesia dan Filipina diperiksa sebelum 44 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Daripada jumlah yang ditahan, dua adalah warga Indonesia membabitkan seorang lelaki dan seorang wanita dewasa.

Selebihnya 42 warga Filipina terdiri daripada lapan lelaki dewasa, 12 wanita dewasa, sembilan kanak-kanak lelaki dan 13 kanak-kanak perempuan.

Semua yang ditahan dibawa ke depot tahanan imigresen untuk tindakan lanjut.

Jabatan itu menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara.