KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang penjawat awam sebuah jabatan kerajaan negeri kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM3,000 sebagai balasan membantu mendapatkan Projek Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada sebuah syarikat kontraktor.
Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 12.40 tengah hari ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024 dengan menerima wang rasuah kira-kira RM3,000.
“Bayaran berkenaan dipercayai dibuat secara berperingkat menerusi dua transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke akaun peribadi suspek dan akaun milik anaknya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan suspek akan dilepaskan selepas keterangan diambil.
