18 Mangsa Banjir di Kemabong Berjaya Diselamatkan

TENOM: Seramai 18 mangsa daripada tiga keluarga berjaya diselamatkan dalam kejadian banjir yang melanda Kampung Sugiang Lama, Kemabong, di sini, pada malam Selasa.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.51 malam sebelum sepasukan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 29 kilometer dari balai.

Komander Operasi, PBK II Azri bin Bidin berkata, kejadian banjir itu menyebabkan kebanyakan rumah serta jalan raya di kampung berkenaan dinaiki air.

“Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi penyelamatan dan pemindahan mangsa. Kesemua 18 mangsa berjaya dibawa keluar dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mangsa terdiri daripada tujuh lelaki dewasa, lima perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan.

Menurutnya, mangsa dikumpulkan di Surau Kampung Bagiang Lama sebelum sebahagian daripada mereka dihantar ke rumah keluarga terdekat.

Bagaimanapun, usaha menghantar mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Ontoros Kemabong tidak dapat diteruskan berikutan laluan di Jalan Kampung Kalamatoi tidak boleh dilalui akibat ditenggelami air.

Operasi yang turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.10 pagi selepas keadaan terkawal.

Pasukan bomba kemudiannya meneruskan operasi pemantauan dan penyelamatan di kawasan terjejas yang lain.