Sabah wajar sokong Sarawak dalam rujukan Persekutuan isu PDA74, kata Jeffrey

KOTA KINABALU:  Sabah digesa menyokong langkah kerajaan Sarawak yang memfailkan rujukan ke Mahkamah Persekutuan bagi mencabar kesahihan perlembagaan beberapa undang-undang petroleum persekutuan.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, berkata tindakan itu penting untuk mendapatkan penentuan kehakiman berhubung kesahihan dan pemakaian berterusan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA74), Akta Pelantar Benua 1966 (CSA66) dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 (PMA66) terhadap Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, selama ini timbul persoalan sama ada undang-undang tersebut, yang dikuatkuasakan selepas pengisytiharan darurat 1969, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Ramai rakyat Sabah mempersoalkan kesahihan PDA74 yang didakwa menjejaskan hak negeri terhadap sumber minyak dan gas, dengan hanya 5 peratus royalti dikembalikan kepada negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di bawah PDA74, hak milik dan kawal selia petroleum diserahkan kepada Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Jeffrey berpandangan, Sabah mempunyai kepentingan yang sama dengan Sarawak dan tidak seharusnya berdiam diri memandangkan sebarang keputusan Mahkamah Persekutuan berpotensi memberi kesan langsung kepada kedudukan undang-undang dan hasil negeri.

Sarawak sebelum ini memfailkan permohonan untuk mendapatkan tafsiran mahkamah berhubung bidang kuasa persekutuan dan negeri dalam hal ehwal petroleum, termasuk kesan undang-undang darurat terhadap pelaksanaan akta-akta berkenaan.

Kerajaan Persekutuan dilaporkan akan membiarkan mahkamah menentukan perkara itu.

Setakat ini, kerajaan Sabah belum mengumumkan pendirian rasmi sama ada akan campur tangan atau menyertai rujukan tersebut.