Bekas calon Warisan persoal kelewatan projek PPKB Pitas RM6.9 juta

KOTA KINABALU: Bekas calon Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi DUN Pitas, Datuk Harun Ismail, mempersoalkan kelewatan pelaksanaan Projek Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) Pitas yang diluluskan di bawah Belanjawan Madani 2024.

Menurutnya, projek bernilai RM6.9 juta itu telah diumumkan ketika pembentangan belanjawan pada 13 Oktober 2023 dan majlis pecah tanah diadakan pada 12 November tahun sama.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan rekod rasmi, tarikh mula pelaksanaan sebenar hanya direkodkan pada 6 Mac 2025 dengan tarikh siap dijadualkan pada 6 Julai 2026.

“Sekiranya kelulusan dan majlis pecah tanah dibuat pada 2023, mengapa pelaksanaan fizikal sebenar hanya bermula hampir satu setengah tahun kemudian?” soalnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Harun turut mempersoalkan dakwaan bahawa projek berkenaan hanya akan siap pada 2027, sedangkan jadual asal menunjukkan tempoh siap pada pertengahan 2026.

Beliau berkata sekiranya tempoh siap semakin hampir, projek itu sewajarnya berada pada fasa akhir pembinaan. Jika kemajuan di tapak belum mencapai tahap sepatutnya, penjelasan perlu diberikan termasuk aspek pengurusan projek, pelantikan kontraktor dan pemantauan pelaksanaan.

“Persoalan ini dibangkitkan bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak, tetapi demi memastikan setiap projek melibatkan dana awam dilaksanakan secara cekap dan telus,” katanya.

Harun menegaskan gesaan itu tidak bertujuan mempolitikkan isu, sebaliknya sebagai sebahagian daripada proses semak dan imbang dalam sistem demokrasi.

Beliau turut menyeru pihak yang diberi mandat mentadbir supaya melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti serta memastikan kemudahan awam disiapkan mengikut perancangan demi kesejahteraan rakyat Pitas.