Banjir Musnahkan Persiapan Ramadan, Penduduk Tawau Rayu Bantuan

TAWAU: “Peralatan perabot, elektronik dan elektrik rosak akibat banjir hingga persiapan Ramadan kami terjejas.”

Demikian luahan Rasidah Salam dari kawasan Jambatan Tengku Usman yang mendakwa kejadian banjir baru-baru ini memberi kesan besar kepada keluarganya.

Menurutnya, mereka bukan daripada golongan berada dan terpaksa berbelanja besar untuk membeli kelengkapan rumah yang kini rosak akibat ditenggelami air.

“Kami bukan orang senang. Untuk beli peralatan ini pun ambil masa lama kumpul duit. Sekarang semuanya rosak. Memang sedih,” katanya.

Rasidah berkata, sehingga kini mereka masih bertungkus-lumus membersihkan rumah yang dipenuhi lumpur dan sisa banjir bagi memastikan ia kembali selamat didiami.

“Tolonglah bersihkan kawasan sungai belakang rumah ini. Kejadian ini benar-benar ujian besar di bulan Ramadan. Beberapa minggu lagi Hari Raya akan tiba, persiapan kami habis terjejas. Kami harap ada pihak tampil membantu,” ujarnya.

Sementara itu, Tawilok Buhan dari Kampung Rainbow mendakwa banjir besar yang berlaku bukan semata-mata disebabkan fenomena air pasang kerana keadaan itu lazim berlaku sebelum ini tanpa impak seteruk kali ini.

“Kejadian ini menghantui penduduk kampung. Kami bimbang ia berulang jika tiada tindakan segera,” katanya.

Ketua Penduduk Kampung Rainbow, Nuramalina Kasran berkata, kira-kira 20 rumah terjejas dalam kejadian tersebut, melibatkan kerosakan perabot dan barangan elektrik.

Penduduk berharap pihak berkaitan segera mengambil tindakan termasuk membersihkan sungai dan meneliti punca sebenar kejadian bagi mengelakkan situasi sama berulang, terutama menjelang Ramadan dan Aidilfitri.