Menurutnya, sehingga kini projek berkenaan masih belum disiapkan walaupun telah diumumkan tiga tahun lalu, sedangkan daerah itu kerap berdepan banjir saban tahun.
“Projek PPKB telah dimulakan pada 2023, namun sehingga kini belum juga siap. Apakah punca kelewatan ini? Siapakah kontraktor utama yang dilantik?
“Mengapa tiada tindakan lebih tegas untuk mempercepatkan pelaksanaan atau mengenakan penalti atas kelewatan?” katanya dalam satu kenyataan.
Harun berkata, kemudahan pemindahan yang lebih tersusun, selesa dan selamat amat diperlukan bagi memastikan kebajikan mangsa banjir terjamin.
Beliau turut menzahirkan simpati terhadap penduduk yang terjejas akibat banjir baru-baru ini dan menegaskan bahawa keselamatan serta kesejahteraan rakyat mesti menjadi keutamaan.
Katanya, penduduk Pitas berhak menikmati kemudahan yang lebih sistematik dalam menghadapi bencana yang kerap melanda daerah itu.
