KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyeru masyarakat Tionghua di negeri ini agar terus memainkan peranan sebagai rakan strategik kerajaan dalam usaha membangunkan Sabah secara mampan dan inklusif.
Dalam perutusan sempena Tahun Baharu Cina 2026, beliau berkata kerjasama erat antara kerajaan negeri dan masyarakat Cina penting bagi menjayakan agenda pembangunan yang dirangka menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0).
Katanya, aspirasi kerajaan negeri adalah memperkasa pertumbuhan ekonomi, pembangunan modal insan serta kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang.
“Melalui SMJ 2.0, kita memastikan kemajuan ini bersifat inklusif dan kemakmuran negeri dapat dinikmati semua rakyat. Perpaduan adalah kunci kestabilan dan kemakmuran Sabah,” katanya dalam perutusan sempena Tahnu Baharu Cina hari ini.
Hajiji berkata sambutan Tahun Baharu Cina bukan sekadar mencerminkan kekayaan budaya masyarakat Tionghua, malah menjadi wadah memperkukuh keharmonian serta semangat kebersamaan rakyat berbilang kaum di negeri ini.
Beliau berkata Tahun Kuda Api 2026 yang melambangkan tenaga, keberanian dan inovasi wajar dijadikan inspirasi untuk merancang pembangunan secara tersusun melalui kerjasama padu semua pihak.
“Saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina, Gong Xi Fa Cai kepada masyarakat Tionghua di Sabah khususnya dan seluruh negara amnya,” katanya.
