Musa Aman Hadir Forum Perdana Sambut Ramadan di Istana Seri Kinabalu

KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin berkenan menghadiri Forum Perdana Ehwal Islam yang berlangsung di Balai Istiadat Istana Seri Kinabalu, di sini, semalam.

Majlis yang menghimpunkan kira-kira 150 tetamu jemputan itu diadakan bersempena menyambut ketibaan Ramadan, sekali gus menyemarakkan lagi suasana persiapan rohani menjelang bulan penuh keberkatan.

Forum bertajuk “Sahaja Aku Berpuasa” itu menampilkan pendakwah terkenal, Mohamad Kazim Elias yang mengupas kepentingan niat serta penghayatan sebenar ibadah puasa, bukan sekadar menahan lapar dan dahaga.

Program berkenaan dikendalikan moderator Ustaz Zakaria Othman, sementara dua lagi panel jemputan terdiri daripada Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Malai Ali Malai Ahmad serta Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Yasmin Hanani Mohd Safian.

Perbincangan yang santai namun sarat pengisian itu turut menyentuh aspek keikhlasan, disiplin diri dan pembinaan akhlak sepanjang Ramadan, selain menyeru umat Islam agar menjadikan puasa sebagai medan transformasi rohani dan sosial.

Kehadiran Musa Aman dan isteri menyerlahkan komitmen institusi negeri dalam menyokong program keagamaan serta usaha memperkukuh nilai Islam dalam masyarakat Sabah.