TONGOD: Projek Kompleks Sukan Tongod yang terbengkalai hampir tujuh bulan kini dijanjikan penyelesaian apabila Kementerian Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK) akan melantik kontraktor baharu dalam masa terdekat.
ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata jaminan itu diberikan selepas Menteri KBSK, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan melawat tapak projek berkenaan kelmarin.
Menurutnya, campur tangan kerajaan negeri diharap dapat menyelamatkan projek yang sebelum ini dilabel sebagai “projek gajah putih” susulan kegagalan kontraktor terdahulu meneruskan kerja sejak Julai tahun lalu.
“Saya berpuas hati kerana menteri sendiri memberi jaminan projek ini akan diberi perhatian serius dan kontraktor baharu akan dilantik,” katanya di sini semalam.
Bagaimanapun, Masiung secara terbuka menyatakan kekecewaan terhadap kontraktor yang dilantik sebelum ini, yang menurutnya menjadi punca projek itu terhenti.
Dalam sidang Dewan Undangan Negeri pada Disember lalu, beliau turut membangkitkan isu kelewatan projek tersebut dan mendesak kementerian mengambil tindakan segera.
Masiung, yang juga Pengerusi Kumpulan SEDCO, mengingatkan agar kementerian menilai keupayaan kontraktor baharu dengan teliti bagi mengelakkan kegagalan sama berulang.
“Jangan lagi lantik kontraktor yang tidak mampu. Rakyat Tongod sudah lama menunggu,” katanya.
Projek itu sebelum ini dilihat sebagai antara inisiatif penting bagi pembangunan belia dan sukan luar bandar di Tongod, namun kelewatan berpanjangan menimbulkan persoalan mengenai pemantauan dan pelaksanaan projek kerajaan negeri.
