KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah melalui Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) merintis kerjasama strategik program universiti berkembar bersama Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Agama, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kerjasama itu dicapai hasil lawatan rasmi delegasi negeri ke Kaherah baru-baru ini, dengan Sabah antara yang terawal diberi peluang oleh universiti berkenaan.
Menurutnya, program tersebut merangkumi beberapa bidang termasuk perubatan, Usuluddin, Syariah, dakwah, Dirasat Islami, Pengajian Islam dan Bahasa Arab.
Beliau berkata, Universiti Al-Azhar turut bersetuju menerima pegawai agama dan pendakwah dari Sabah untuk mengikuti program latihan serta pemantapan kefahaman Islam dalam tempoh beberapa minggu atau bulan di Kaherah.
“Selain itu, universiti berkenaan juga menyatakan kesediaan menawarkan biasiswa kepada pelajar dari Sabah, dengan penempatan di Ma’ahad Buuth Islamiyyah Al-Azhar,” katanya ketika berucap pada Program Konvensyen al-Quran sempena Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Sabah.
Tambah beliau, sebuah jawatankuasa susulan akan ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih bagi menyelaras pelaksanaan kerjasama berkenaan.
Kerajaan negeri menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah penting dalam memperkukuh jaringan pendidikan Islam Sabah di peringkat antarabangsa.
