Jamawi seru warga kementerian sokong Inisiatif Kebun Dapur

KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar menyeru seluruh warga kementerian supaya memberi komitmen penuh dalam menyokong pelaksanaan Inisiatif Kebun Dapur bagi memperkukuh keselamatan makanan dan membudayakan amalan berdikari dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata, sokongan semua pegawai dan kakitangan penting meliputi aspek perancangan, pelaksanaan, pemantauan serta promosi inisiatif itu kepada masyarakat.

“Warga kementerian perlu menjadi barisan hadapan dan duta kepada inisiatif ini dengan menunjukkan teladan melalui penyertaan serta sokongan teknikal di peringkat komuniti,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 di sini, malam tadi.

Jamawi berkata, Inisiatif Kebun Dapur bukan sekadar projek pertanian kecil, sebaliknya gerakan strategik untuk memperkasa isi rumah, mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kesedaran terhadap pertanian asas.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan kementerian bergantung kepada kecekapan, integriti dan dedikasi penjawat awam, selain menekankan toleransi sifar terhadap ketirisan, kecuaian dan penyalahgunaan kuasa.

“Kecemerlangan bukan hanya diukur melalui pencapaian KPI, tetapi juga melalui profesionalisme, integriti dan keupayaan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.