TAWAU: Golongan belia digesa supaya berani menceburi bidang keusahawanan khususnya dalam sektor ekonomi kreatif bagi menjamin masa depan yang lebih stabil.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan berkata, penglibatan belia dalam industri kopi tempatan mampu membuka peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan komuniti setempat.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kopi Glam Tawau yang berlangsung di Padang Bandaran Tawau, di sini, Sabtu.
Menurutnya, kerajaan bersama pelbagai agensi berkaitan sentiasa menyediakan sokongan berbentuk latihan, pembiayaan dan bimbingan kepada usahawan belia.
“Belia perlu kreatif dan inovatif serta berani mencuba bidang baharu bermula dari perniagaan kecil-kecilan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan golongan muda agar tidak terjebak dengan aktiviti tidak berfaedah sebaliknya memanfaatkan masa untuk perkara yang boleh membina jati diri serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
